05 Desember 2011

KELEBIHAN 10 MUHARAM

KELEBIHAN BERPUASA 10 MUHARRAM DAN PERISTIWA-PERISTIWA YANG TERJADI PADA HARI TERSEBUT Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka". Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W: "Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W: "Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura!".[]

21 November 2011

KELEBIHAN AI QURAN

Kelebihan Al-Quran Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir. Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul. Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan. Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka. Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi: Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia. Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar. Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T. Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman: Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus. (Surah Al-Maidah: 14 &15) Firman Allah S.W.T lagi: Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 2) Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.” Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari. Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda: Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib). Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi: Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.” PAHALA MEMBACA AL-QURAN Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain. Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w: Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/; Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai. Sesiapa yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat. Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat. Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya: Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi. Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya. Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut: 1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan. 2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan. KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya. Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya. Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya. Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain. KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong. ADAB MEMBACA AL-QURAN Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut: 1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain. 2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf. 3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas. 4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi: Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi. Berkata Yazid bin Abdul Mallek: Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi. 5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita. 6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran. 7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran. 8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus. 9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim). Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam. 10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim). Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah. 11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran. 12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa. Firman Allah S.W.T: Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil. (Surah Al-Furqan: 32) Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil. (Surah Al-Muzammmil: 4) Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saidina Ali k.w berkata: Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya. 13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman: Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Israi’: 9) Firman Allah S.W.T.: Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin. (Surah Al-Isra’: 82) Firman Allah S.W.T. lagi: Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. (Surah Sad: 29) 14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi: Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. 15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan. 16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan. Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap. 17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi: Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.” 18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik. Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu. 19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca: (Sadaqallahul’azim). 20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi: Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.

NUZUL QURAN

NUZUL QURAN PERISTIWA Nuzul al-Quran dicatatkan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.. Bagaimanapun, wujud kekhilafan bila tarikh sebenar Nuzul al-Quran atau penurunan al-Quran yang telah dibincangkan secara ilmiah. Kebanyakan ulama berpendapat, al-Quran diturunkan pada malam al-qadar. Ini berpandukan kepada surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan al-Roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Dalam surah ini, malam penuh kesejahteraan merujuk kepada malam al-qadar iaitu 10 malam terakhir Ramadan. Sebahagian ulama pula mengatakan al-Quran turun pada bulan Ramadan dengan berpandukan kepada surah al-Baqarah, ayat 185. Allah s.w.t. berfirman: (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelas an mengenai petunjuk itu dan pembeza(antara yang hak dan batil). Berbanding dengan kedua-dua surah tersebut, ada juga kalangan ulama berpendapat lailatul qadar adalah pada 17 Ramadan. Ini terkandung dalam surah al-Dukhan, ayat 3, Allah s.w.t. berfirman: Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Berdasarkan kepada surah tersebut, malam yang diberkati ialah malam al-Quran pertama kali diturunkan. Kebanyakannya menganggap ia jatuh pada tanggal 17 Ramadan. Apabila dibahaskan, para ulama bersepakat menyatakan bahawa ayat ini menerangkan berlakunya Perang Badar iaitu peperangan pertama bagi umat Islam pada 17 Ramadan. Hari al-furqan, jelas Mohd. Zamri, ialah hari kemenangan orang Islam dan kekalahan orang kafir iaitu hari bertemunya dua pasukan dalam Perang Badar yang berlaku pada Jumaat 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Lebih tepat lagi 17 Ramadan ini ialah peperangan pertama bagi umat Islam dengan 313 tentera Islam menentang 1,000 tentera musuh. “Walaupun wujudnya kekhilafan dalam mencari tarikh sebenar penurunan al-Quran, para ulama yang berijtihad berpendapat peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan. Malam alqadar seperti yang diketahui ialah 10 hari terakhir Ramadan. “Justeru, al-Quran adalah anugerah paling istimewa kepada umat manusia kerana ia diturunkan dalam bulan paling istimewa iaitu Ramadan yang mengandungi rahmat dan barakah,” jelas beliau berhubung tarikh sebenar penurunan al-Quran. Peringkat Nuzul al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi melalui peringkat-peringkat tertentu seperti mana yang terkandung dalam surah al-Furqan, ayat 32, Allah s.w.t. berfirman: Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”, demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya dengan teratur satu persatu. Dijelaskan bahawa al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi beransur-ansur agar hati Nabi Muhammad s.a.w. menjadi kuat dan tegap. “Nabi Muhammad s.a.w. hidup di Mekah selama 13 tahun dan Madinah selama 10 tahun. Jadi bagaimana pula al-Quran boleh diturunkan sekali gus 30 juzuk? Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. semasa hidup dan selepas kewafatannya barulah al-Quran lengkap. Allah s.w.t. turunkan al-Quran (lengkap 30 juzuk) pertama kali dari Luh Mahfuz dan kemudian ke Baitul Izzah (langit dunia) pada malam bulan Ramadan. Setelah melalui kedua-dua peringkat ini, al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. selama 23 tahun. *Berselimut Wahyu pertama diterima melalui malaikat Jibril di gua Hira’. Surah al-Alaq ialah wahyu pertama yang diterima Nabi pada bulan Ramadan. Martabat penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. terkandung dalam empat surah iaitu al-Alaq (bacalah), al-Qalam (pena), al-Muzamil (orang yang berselimut) dan al-Muddathir (berselimut) yang mengandungi pengajaran di sebaliknya. Melalui surah al-Alaq ayat 1 hingga 5, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. Intisari ayat ini ialah Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya melengkapkan diri dengan ilmu dan memperbanyakkan ilmu dengan membaca dengan syarat, bacalah atas nama Allah. Ramai orang yang berilmu tetapi tidak beriman kepada Allah s.w.t. dan menggunakan ilmu ke arah keburukan yang boleh menghancurkan manusia. Surah al-Qalam pula mengingatkan menerusi ayat satu yang bermaksud: Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis. Allah s.w.t. menunjukkan betapa pentingnya pena dalam menyebarkan ilmu. Untuk mengukuhkan ilmu, manusia digalakkan belajar menulis. Pada zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat disuruh menulis di atas pelepah kurma, kulit kambing yang kering dan batu supaya ilmu yang diperoleh tidak hilang. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa dengan malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu pertama kepadanya, Baginda amat takut hingga menggigil seluruh tubuh badannya. Baginda meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya dengan kain yang tebal. Pada masa ini, Allah s.w.t. berfirman: Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya) , (iaitu) separuh daripada waktu malam atau kurangilah daripada separuh itu sedikit, atau lebihkan sedikit daripadanya. Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil. (al-Muzamil: 1-4) “Penurunan ketiga-tiga surah di atas jelas menunjukkan bahawa setelah mempunyai ilmu, perkara yang paling penting adalah mempunyai hubungan yang intim dengan Allah s.w.t. sebelum terjun berdakwah ke dalam masyarakat. Allah s.w.t. perintahkan bermunajat dan bangun solat pada waktu malam untuk menguatkan mental dan rohani iaitu ciri-ciri penting yang perlu ada pada pendakwah. Sejak turunnya ayat ini, Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah meninggalkan qiamullail. “Kemudiannya, Allah s.w.t. turunkan perintahnya melalui surah al-Muddathir, ayat 1 hingga 2, yang bermaksud: Hai orang yang berkemul (berselimut) , bangunlah, lalu berilah peringatan! Ertinya, dengan pengukuhan ilmu dan kemantapan hubungan yang erat dengan Allah s.w.t., berikanlah peringatan kepada orang yang masih belum mengetahui. Kita dapat melihat bagaimana Baginda menghadapi banyak dugaan dan cabaran dalam menegakkan syiar Islam di Mekah,” jelas menceritakan rentetan peristiwa penurunan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w.. Berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 185 dijelaskan bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi manusia yang mengandungi keterangan dan bukti. Rentetan yang membuktikan al-Quran diangkat sebagai mukjizat yang kekal hingga hari kiamat adalah berpandukan sorotan beberapa peristiwa mukjizat yang diturunkan kepada para Nabi terdahulu. Sebagai contoh, pada zaman Nabi Saleh, masyarakat ketika itu terlalu memberi tumpuan pada penternakan hingga Nabi Saleh datang dalam bentuk mukjizat dengan menyerupai unta yang keluar dari celah batu. Begitu juga yang berlaku pada zaman Nabi Musa yang penduduknya gemar mempelajari ilmu sihir. Maka, Nabi Musa diutuskan dalam bentuk mukjizat berupa sihir untuk melemahkan kaumnya. Nabi Musa boleh menukar tongkat menjadi ular yang besar hingga kebolehan luar biasanya itu berjaya menarik kaum tersebut beriman kepada Allah s.w.t.. Masyarakat pada zaman Nabi Isa lebih tertumpu pada ilmu perubatan. Mukjizat yang diturunkan kepadanya ialah Nabi Isa boleh menyembuhkan penyakit sopak dan buta hinggalah pada satu peringkat boleh menghidupkan orang yang telah mati dengan izin daripada Allah s.w.t.. Pada zaman Nabi Muhammad pula, syair-syair dan kesusasteraan Arab muncul sehingga pasar-pasar menjadi tempat mendeklamasikan karya mereka dan tulisan tersebut turut digantung di kelambu-kelambu Kaabah. Lalu turunlah al-Quran dalam bentuk mukjizat yang boleh melemahkan ahli-ahli sastera pada waktu tersebut dengan ayat-ayat al-Quran yang begitu indah di samping makna yang begitu jelas dan tepat. “Itu adalah mukjizat yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul. Persoalannya, pada zaman kita hari ini, di manakah terletaknya mukjizat al-Quran? Jika diperhatikan, manusia akhir zaman ini lebih mengagungkan fakta saintifik dan penemuan terbaru sains dan teknologi. Sedangkan al-Quran telah menerangkan bukti-bukti tentang sains sejak ia diturunkan 1,400 tahun lalu,”. Antaranya, dalam surah al-Rum, ayat 2 hingga 4 yang bermaksud: Telah dikalahkan bangsa Rom di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. Diceritakan kerajaan Rom yang beragama Nasrani mempunyai kitab suci manakala orang Parsi beragama Majusi iaitu menyembah api dan berhala. Kedua-dua bangsa ini saling berperang. Ketika tersiar berita kekalahan bangsa Rom oleh bangsa Parsi, kaum musyrik Mekah menyambutnya dengan penuh kegembiraan kerana ia berpihak kepada orang musyrikin Parsi. Ini menyebabkan kaum muslimin berdukacita. “Ayat ini mengajar manusia agar sentiasa peka dan mengambil tahu tentang isu-isu antarabangsa. Melalui ayat itu juga terbukti Rom memenangi peperangan tersebut setelah kalah kepada Parsi. Ini juga menunjukkan al-Quran bersifat futuristik. Malah disebut juga, bahawa peperangan tersebut berlaku di bumi paling bawah (ajna). Masyarakat mufasir terdahulu tidak boleh terfikir kerana tiada kemudahan teknologi dan sebagainya. Apabila dikaji, pertembungan Rom dan Parsi berlaku di Laut Mati yang terletak di bawah paras aras laut. Siapakah yang membuktikan wujudnya tempat bumi paling bawah jika bukan daripada al-Quran?”. Al-Quran ialah mukjizat yang kekal hingga kiamat kerana terdapat lebih daripada 200 fakta sains yang tidak disingkap sejak ia diturunkan tetapi berjaya dibongkar pada kurun terakhir ini. Islam dan al-Quran adalah satu cara hidup. Al-Quran bukan untuk dibaca tetapi dihayati dan difahami sebagai buku panduan yang kekal hingga hari kiamat. Ramadan ialah bulan yang paling sesuai untuk memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran kerana Allah s.w.t. menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Untuk mengimarahkan sambutan Nuzul al-Quran dan mengembalikan kehebatan al-Quran, gerakan bersepadu semua pihak perlu digembleng termasuklah dalam media, kerajaan dan masyarakat. Melalui al-Quran, banyak perspektif boleh dikupas dengan baik dengan menampilkan banyak kelainan, misalnya menunjukkan bukti-bukti sains dan al-Quran. “Ditegaskan bahawa al-Quran adalah panduan kepada umat manusia menjalani kehidupan di dunia dan akhirat. Untuk menghayatinya, kita bukan sahaja perlu tahu membaca tetapi memahami maksud setiap ayat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. dan beramal kepadanya,”.

HADIS PUASA RAMADHAN

Hadis Puasa / Ramadhan Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. (Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi) Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi) Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah: Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah (umat Islam yang majoriti/sawadul a'zhom). (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi) Daripada Abi Soleh Az-Zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya." (Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi) MUTIARA MENAWAN DARIPADA HADIS-HADIS KELEBIHAN RAMADHAN 1. Semua hadis menceritakan tentang kelebihan Ramadhan yang merupakan sebagai suatu simbol kecintaan Allah s.w.t. kepada para hambaNya. 2. Janji limpahan rahmat dan keampunan yang meluas di bulan Ramadhan, merupakan antara motivasi daripada Allah s.w.t. buat para hambaNya, dalam rangka untuk memperbaiki hubungan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t. di samping menjadi pemangkin bagi menyuntik semangat baru bagi para hambaNya untuk terus berjalan menujuNya. 3. Ramadhan menjanjikan suatu madrasah tarbiah yang bermakna buat para hamba Allah s.w.t., kerana di dalamnya, para hambaNya dapat melatih diri dalam menjaga niat dan keikhlasan kepadaNya dalam setiap amalan. 4. Hadis-hadis ini juga menceritakan tentang kepentingan keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadah, kerana amalan hanya diterima dengan niat yang ikhlas. 5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Begitu juga, ia mampu menghapuskan segala dosa jika seseorang bertaubat dengan taubat nasuha, seterusnya melakukan ketaatan sebagai ganti (kaffarah) bagi dosa-dosa tersebut. 6. Puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi menahan seluruh anggota daripada kemaksiatan dan kedurhakaan kepadaNya. 7. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi di sisi Allah s.w.t.. 8. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai yang tersayang, dan kegembiraan apabila bertemu Allah s.w.t. kelak. Sememangnya, dalam berbuka puasa itu, kegembiraan seseorang hamba bukanlah kerana dapat memenuhi syahwat makannya setelah lama menahannya, tetapi kegembiraan hakiki seseorang hamba sewaktu berbuka puasa ialah, apabila melihat hidangan di hadapannya, dengan penuh syukur, dengan merasakan, seluruh rezeki tersebut merupakan suatu tanda kecintaan Allah s.w.t. kepadaNya. Adapun kegembiraan ketika bertemu dengan Allah s.w.t., laksana kegembiraan sang kekasih yang sentiasa menyimpan rindu untuk bertemu dengan kekasihnya, yang telah lama berjauhan di perantauan. Semoga puasa kali ini dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam dalam usaha untuk memperbaiki hubungan diri dengan Allah s.w.t.. Wallahu a'lam...

SOLAT JAMAK QASAR

SOLAT JAMAK DAN QASAR Cara-cara melakukan sembahyang Jamak dan Qasar Makna Jamak ialah dihimpunkan Makna Qasar ialah dipendekkan Perkara yang penting ialah kita mesti niat terlebih dahulu setelah keluar dari rumah iaitu:- "Sahaja aku musafir kerana Allah Tallah". Kita boleh melakukan selama tiga hari tinggal bermukim. Jamak Takdim dan diQasarkan (dipendekkan) 1.Melakukan sembahyang asar dalam waktu zuhur itu di namakan jamak takdim. Lakukan sembahyang zuhur 2 rakaat selepas itu di ikuti pula sembahyang asar 2 rakaat. Niat untuk sembahyang zuhur ialah "Sahaja aku sembahyang fardu zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana Allah Taala". Niat untuk sembahyang asar pula ialah "Sahaja aku sembahyang fardu asar 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana Allah Tallah". Jamak Takhir dan diQasarkan (dipendekkan} 2.Melakukan sembahyang zuhur dalam waktu asar itu di namakan Jamak Takhir. Tapi dengan syarat kita mesti niatkan dahulu dalam hati sebelum habis waktu zuhur iaitu:- "Aku nak jamakkan sembahyang zuhur dalam waktu asar" Lakukan sembahyang asar 2 rakaat selepas itu di ikuti pula sembahyang zuhur 2 rakaat. Niat untuk sembahyang asar ialah "Sahaja aku sembahyang fardu asar 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana Allah Taala". Niat untuk sembahyang zuhur ialah "sahaja aku sembahyang fardu zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana Allah Talla". Kita boleh juga jamakkan magrib dengan isyak atau sebaliknya tapi waktu magrib tidak boleh diqasarkan ia tetap 3 rakaat caranya ialah:- Jamak takdim dan diqasarkan (dipendekkan) 1.Melakukan sembahyang isyak dalam waktu magrib itu dinamakan jamak takdim. Niat untuk sembahyang magrib ialah "Sahaja aku sembahyang fardu maghrib 3 rakaat dijamakkan fardu isyak dengan jamak takdim kerana Allah Talla". Niat untuk sembahyang isyak ialah "Sahaja aku sembahyang fardu isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardu magrib dengan jamak takdim kerana Allah Tallah". Jamak takhir dan diqasarkan (di pendekkan) 2.Melakukan sembahyang magrib dalam waktu isyak itu dinamakan jamak takhir. Tapi jangan lupa niatkan sebelum waktu magrib berakhir "Aku nak jamakkan sembahyang magrib dalam waktu isyak" Niat untuk sembahyang isyak ialah "Sahaja aku sembahyang fardu isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardu magrib dengan jamak takhir kerana Allah Talla". Niat untuk sembahyang magrib ialah "sahaja aku sembahyang fardu magrib 3 rakaat dijamakkan fardu isyak dengan jamak takhir kerana Allah Tallah".