21 November 2011
NUZUL QURAN
NUZUL QURAN
PERISTIWA Nuzul al-Quran dicatatkan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.. Bagaimanapun, wujud kekhilafan bila tarikh sebenar Nuzul al-Quran atau penurunan al-Quran yang telah dibincangkan secara ilmiah.
Kebanyakan ulama berpendapat, al-Quran diturunkan pada malam al-qadar. Ini berpandukan kepada surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan al-Roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Dalam surah ini, malam penuh kesejahteraan merujuk kepada malam al-qadar iaitu 10 malam terakhir Ramadan.
Sebahagian ulama pula mengatakan al-Quran turun pada bulan Ramadan dengan berpandukan kepada surah al-Baqarah, ayat 185. Allah s.w.t. berfirman: (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelas an mengenai petunjuk itu dan pembeza(antara yang hak dan batil).
Berbanding dengan kedua-dua surah tersebut, ada juga kalangan ulama berpendapat lailatul qadar adalah pada 17 Ramadan. Ini terkandung dalam surah al-Dukhan, ayat 3, Allah s.w.t. berfirman: Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Berdasarkan kepada surah tersebut, malam yang diberkati ialah malam al-Quran pertama kali diturunkan. Kebanyakannya menganggap ia jatuh pada tanggal 17 Ramadan.
Apabila dibahaskan, para ulama bersepakat menyatakan bahawa ayat ini menerangkan berlakunya Perang Badar iaitu peperangan pertama bagi umat Islam pada 17 Ramadan. Hari al-furqan, jelas Mohd. Zamri, ialah hari kemenangan orang Islam dan kekalahan orang kafir iaitu hari bertemunya dua pasukan dalam Perang Badar yang berlaku pada Jumaat 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Lebih tepat lagi 17 Ramadan ini ialah peperangan pertama bagi umat Islam dengan 313 tentera Islam menentang 1,000 tentera musuh.
“Walaupun wujudnya kekhilafan dalam mencari tarikh sebenar penurunan al-Quran, para ulama yang berijtihad berpendapat peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan. Malam alqadar seperti yang diketahui ialah 10 hari terakhir Ramadan.
“Justeru, al-Quran adalah anugerah paling istimewa kepada umat manusia kerana ia diturunkan dalam bulan paling istimewa iaitu Ramadan yang mengandungi rahmat dan barakah,” jelas beliau berhubung tarikh sebenar penurunan al-Quran.
Peringkat Nuzul al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi melalui peringkat-peringkat tertentu seperti mana yang terkandung dalam surah al-Furqan, ayat 32, Allah s.w.t. berfirman: Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”, demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya dengan teratur satu persatu. Dijelaskan bahawa al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi beransur-ansur agar hati Nabi Muhammad s.a.w. menjadi kuat dan tegap.
“Nabi Muhammad s.a.w. hidup di Mekah selama 13 tahun dan Madinah selama 10 tahun. Jadi bagaimana pula al-Quran boleh diturunkan sekali gus 30 juzuk? Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. semasa hidup dan selepas kewafatannya barulah al-Quran lengkap. Allah s.w.t. turunkan al-Quran (lengkap 30 juzuk) pertama kali dari Luh Mahfuz dan kemudian ke Baitul Izzah (langit dunia) pada malam bulan Ramadan. Setelah melalui kedua-dua peringkat ini, al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. selama 23 tahun.
*Berselimut
Wahyu pertama diterima melalui malaikat Jibril di gua Hira’. Surah al-Alaq ialah wahyu pertama yang diterima Nabi pada bulan Ramadan.
Martabat penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. terkandung dalam empat surah iaitu al-Alaq (bacalah), al-Qalam (pena), al-Muzamil (orang yang berselimut) dan al-Muddathir (berselimut) yang mengandungi pengajaran di sebaliknya.
Melalui surah al-Alaq ayat 1 hingga 5, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Intisari ayat ini ialah Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya melengkapkan diri dengan ilmu dan memperbanyakkan ilmu dengan membaca dengan syarat, bacalah atas nama Allah. Ramai orang yang berilmu tetapi tidak beriman kepada Allah s.w.t. dan menggunakan ilmu ke arah keburukan yang boleh menghancurkan manusia.
Surah al-Qalam pula mengingatkan menerusi ayat satu yang bermaksud: Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis. Allah s.w.t. menunjukkan betapa pentingnya pena dalam menyebarkan ilmu. Untuk mengukuhkan ilmu, manusia digalakkan belajar menulis. Pada zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat disuruh menulis di atas pelepah kurma, kulit kambing yang kering dan batu supaya ilmu yang diperoleh tidak hilang.
Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa dengan malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu pertama kepadanya, Baginda amat takut hingga menggigil seluruh tubuh badannya. Baginda meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya dengan kain yang tebal. Pada masa ini, Allah s.w.t. berfirman: Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya) , (iaitu) separuh daripada waktu malam atau kurangilah daripada separuh itu sedikit, atau lebihkan sedikit daripadanya. Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil. (al-Muzamil: 1-4)
“Penurunan ketiga-tiga surah di atas jelas menunjukkan bahawa setelah mempunyai ilmu, perkara yang paling penting adalah mempunyai hubungan yang intim dengan Allah s.w.t. sebelum terjun berdakwah ke dalam masyarakat. Allah s.w.t. perintahkan bermunajat dan bangun solat pada waktu malam untuk menguatkan mental dan rohani iaitu ciri-ciri penting yang perlu ada pada pendakwah. Sejak turunnya ayat ini, Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah meninggalkan qiamullail.
“Kemudiannya, Allah s.w.t. turunkan perintahnya melalui surah al-Muddathir, ayat 1 hingga 2, yang bermaksud: Hai orang yang berkemul (berselimut) , bangunlah, lalu berilah peringatan! Ertinya, dengan pengukuhan ilmu dan kemantapan hubungan yang erat dengan Allah s.w.t., berikanlah peringatan kepada orang yang masih belum mengetahui. Kita dapat melihat bagaimana Baginda menghadapi banyak dugaan dan cabaran dalam menegakkan syiar Islam di Mekah,” jelas menceritakan rentetan peristiwa penurunan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w..
Berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 185 dijelaskan bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi manusia yang mengandungi keterangan dan bukti. Rentetan yang membuktikan al-Quran diangkat sebagai mukjizat yang kekal hingga hari kiamat adalah berpandukan sorotan beberapa peristiwa mukjizat yang diturunkan kepada para Nabi terdahulu.
Sebagai contoh, pada zaman Nabi Saleh, masyarakat ketika itu terlalu memberi tumpuan pada penternakan hingga Nabi Saleh datang dalam bentuk mukjizat dengan menyerupai unta yang keluar dari celah batu.
Begitu juga yang berlaku pada zaman Nabi Musa yang penduduknya gemar mempelajari ilmu sihir. Maka, Nabi Musa diutuskan dalam bentuk mukjizat berupa sihir untuk melemahkan kaumnya. Nabi Musa boleh menukar tongkat menjadi ular yang besar hingga kebolehan luar biasanya itu berjaya menarik kaum tersebut beriman kepada Allah s.w.t..
Masyarakat pada zaman Nabi Isa lebih tertumpu pada ilmu perubatan. Mukjizat yang diturunkan kepadanya ialah Nabi Isa boleh menyembuhkan penyakit sopak dan buta hinggalah pada satu peringkat boleh menghidupkan orang yang telah mati dengan izin daripada Allah s.w.t..
Pada zaman Nabi Muhammad pula, syair-syair dan kesusasteraan Arab muncul sehingga pasar-pasar menjadi tempat mendeklamasikan karya mereka dan tulisan tersebut turut digantung di kelambu-kelambu Kaabah. Lalu turunlah al-Quran dalam bentuk mukjizat yang boleh melemahkan ahli-ahli sastera pada waktu tersebut dengan ayat-ayat al-Quran yang begitu indah di samping makna yang begitu jelas dan tepat.
“Itu adalah mukjizat yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul. Persoalannya, pada zaman kita hari ini, di manakah terletaknya mukjizat al-Quran? Jika diperhatikan, manusia akhir zaman ini lebih mengagungkan fakta saintifik dan penemuan terbaru sains dan teknologi. Sedangkan al-Quran telah menerangkan bukti-bukti tentang sains sejak ia diturunkan 1,400 tahun lalu,”.
Antaranya, dalam surah al-Rum, ayat 2 hingga 4 yang bermaksud: Telah dikalahkan bangsa Rom di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman.
Diceritakan kerajaan Rom yang beragama Nasrani mempunyai kitab suci manakala orang Parsi beragama Majusi iaitu menyembah api dan berhala. Kedua-dua bangsa ini saling berperang. Ketika tersiar berita kekalahan bangsa Rom oleh bangsa Parsi, kaum musyrik Mekah menyambutnya dengan penuh kegembiraan kerana ia berpihak kepada orang musyrikin Parsi. Ini menyebabkan kaum muslimin berdukacita.
“Ayat ini mengajar manusia agar sentiasa peka dan mengambil tahu tentang isu-isu antarabangsa. Melalui ayat itu juga terbukti Rom memenangi peperangan tersebut setelah kalah kepada Parsi. Ini juga menunjukkan al-Quran bersifat futuristik. Malah disebut juga, bahawa peperangan tersebut berlaku di bumi paling bawah (ajna). Masyarakat mufasir terdahulu tidak boleh terfikir kerana tiada kemudahan teknologi dan sebagainya. Apabila dikaji, pertembungan Rom dan Parsi berlaku di Laut Mati yang terletak di bawah paras aras laut. Siapakah yang membuktikan wujudnya tempat bumi paling bawah jika bukan daripada al-Quran?”.
Al-Quran ialah mukjizat yang kekal hingga kiamat kerana terdapat lebih daripada 200 fakta sains yang tidak disingkap sejak ia diturunkan tetapi berjaya dibongkar pada kurun terakhir ini. Islam dan al-Quran adalah satu cara hidup. Al-Quran bukan untuk dibaca tetapi dihayati dan difahami sebagai buku panduan yang kekal hingga hari kiamat. Ramadan ialah bulan yang paling sesuai untuk memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran kerana Allah s.w.t. menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda.
Untuk mengimarahkan sambutan Nuzul al-Quran dan mengembalikan kehebatan al-Quran, gerakan bersepadu semua pihak perlu digembleng termasuklah dalam media, kerajaan dan masyarakat. Melalui al-Quran, banyak perspektif boleh dikupas dengan baik dengan menampilkan banyak kelainan, misalnya menunjukkan bukti-bukti sains dan al-Quran.
“Ditegaskan bahawa al-Quran adalah panduan kepada umat manusia menjalani kehidupan di dunia dan akhirat. Untuk menghayatinya, kita bukan sahaja perlu tahu membaca tetapi memahami maksud setiap ayat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. dan beramal kepadanya,”.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar